Breaking News
recent

Jenis-Jenis Puasa

Jenis-jenis puasa dan Hukumnya.
1.    Puasa Fardu
Puasa fardu meliputi:
  • Puasa wajib pada bulan Ramadan
  • Puasa Kafarah seperti :
    • Kafarah sumpah
    • Kafarah pembunuhan
    • Kafarah berbuka pada bulan Ramadan
  • Puasa Nazar seperti seseorang berkata : “ kerana Allah saya akan berpuasa selama lima hari”.

2.    Puasa Wajib
Puasa wajib terbahagi kepada tiga :

a.    Puasa kafarah dan puasa nazar
Menurut pendapat sesetengah ulama mengatakan bahawa kedua-dua puasa tersebut wajib hukumnya.

b.    Qada puasa sunat yang dibatalkan

Misalnya seseorang berpuasa pada hari Isnin, lalu membatalkan kerana ada sesuatu yang mendesak.

c.    Puasa pada waktu iktikaf yang dinazarkan

Misalnya seseorang berkata: “Kerana Allah saya akan berpuasa, jika beriktikaf selama lima hari pada bulanMuharam”. Pada lima hari dia melakukan iktikaf itu, maka wajib baginya berpuasa.

3.    Puasa Sunat
Misalnya puasa pada tanggal 10 hari bulan Muharam. Sebaiknya puasa ini disertai dengan puasa pada tanggal 9 atau pada tanggal 11 bulan itu, supaya berbeza dengan kaum yahudi, kerana Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
“ Berpuasalak kamu sekalian pada 10 Muharam, namun hendaknya bezakan dengan yahudi, iaitu berpuasalah satu hari sebelumnya atau sesudahnya”. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Pentingnya puasa pada 10 Muharam ialah, bahawa Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa selama satu tahun dosa yang telah diperbuatnya. Ini sebagai anugerah dan penghormatan dari Allah, berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“ Puasa pada hari Asyura itu dapat menghapuskan dosa selama satu tahun yang telah lalu”. (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah dari Abu Qatadah)

4.    Puasa Mandub
a.    Puasa tiga hari setiap bulan
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“ Puasa tiga hari pada setiap bulan dan puasa pada bulan Ramadan hingga bulan Ramadan berikutanya laksana berpuasa setahun penuh lamanya”. (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Puasa tiga hari tersebut adalah pada “yaumil bid” iaitu pada 13, 14 dan 15 setiap bulan, berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud:
“ Apabila kamu hendak berpuasa hanya tiga hari dalam satu bulan, hendaklah berpuasa pada tanggal 13, 14 dan 15.” (Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

Sabda Nabi lagi:
“ Lalu Allah menurunkan kebenaran terhadap hal itu dalam kitab-Nya yang mulia: Sesiapa membawa amal baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat amalnya”. (Riwayat Ibnu Majah)

b.    Puasa hari isnin dan khamis
Sabda Rasulullah, yang bermaksud:
“ Pada hari Isnin dan khamis semua amal diperlihatkan, maka aku ingin diperlihatkan amalku ketika aku sedang berpuasa”. (Riwayat Tirmizi dari Abu Hurairah)

c.    Puasa enam hari pada bulan syawal
Hadis Nabi yang bermaksud:
“ Sesiapa puasa pada bulan Ramadan diikuti enam hari daripada bulan syawal adalah laksana berpuasa satu tahun.” (Riwayat Muslim dan Al-Hubus Sunan Abu Daud, Tirmizi, Nasa’I dan Ibnu Majah)

Puasa enam hari tersebut sah dilakukan secara bertuturan setelah 1 Syawal, dan sah juga dilakukan pada hari yang berpisah-pisah dalam bulan syawal. Menurut pendapat sebahagian ulama fiqah, sebaiknya puasa tersebut dilakukan secara terpisah-pisah.

d.    Puasa nabi Daud a.s.
Puasa Nabi Daud ialah puasa satu hari dan berbuka satu hari. Hadis Nabi yang bermaksud:
“ Puasa yang paling disukai Allah adalah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah adalah solat Nabi Daud. Dia tidur setengah malam, beribadah sepertiganya dan tidur seperenamnya. Dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

e.    Puasa pada bulan Syaaban
Sama ada sebulan penuh, ataupun sebahagian hari, termasuk puasa pada tengah bulan Syaaban.

Hadis Nabi yang bermaksud:
“ Rasulullah selalu berpuasa, sehingga kami mengiranya tidak akan berbuka, namun Baginda juga berbuka terus-menerus, sehingga kami mengira Baginda tidak akan berpuasa lagi. Saya tidak pernah melihat Baginda mengerjakan puasa sebulan penuh, kecuali mengerjakan pada bulan Ramadan dan saya tidak melihat Baginda berpuasa lebih banyak dalam bulan lain daripada bulan Syaaban”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Aisya r.ha.)
f.    Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah)
Hadis Rasulullah:
“ Rasul ditanya mengenai puasa pada hari Arafah. Beliau menjawab bahawa puasa tersebut dapat menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan pada satu tuhan yang lalu dan satu tahun yang akan dating”. (Riwayat Muslim daripada Al-Habus Sunan dan Qatadah)

5.    Puasa Nafl
Puasa Nafl bermaksud setiap puasa yang tidak ditetapkan kemakruhanya dalam syarak dan juga dianjurkan melakukan oleh sunnah Nabi, misalnya puasa kerana Allah pada hari selasa dalam setiap minggu.

6.    Puasa Makruh
Mengikut syarak, puasa makruh dibahagikan kepada dua iaitu:

a.    Puasa Makruh Tahrim
Puasa makruh tahrim ialah puasa yang dikhususkan pada hari pertama hari raya aidilfitri dan hari pertama pada hari raya aidiladha serta puasa pada hari-hari tasyrik, iaitu puasa pada tanggal 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah. Sesiapa yang berpuasa pada hari yang dimakruhkan berpuasa, maka puasanya itu sah namun ianya berdosa. Bagi mereka yang terlanjur melakukanya lalu membatalkanya, maka ia tidak wajib qada. Dan apabila seseorang itu bernazar akan berpuasa pada hari raya dan hari tasyrik, wajib baginya qada pada hari lain.jika ia berpuasa pada hari tersebut, puasanya sah namun ia berdosa.

b.    Puasa Makruh Tanzih
Puasa makruh Tanzih terbatas pada hari berikut :

i.    Puasa pada hari Asyura, tanggal 10 Muharam, yang tanpa diikuti oleh puasa pada tanggal 9 atau 11. Hal ini disebutkan dalam hadis yang bermaksud:
“Jika saya masih hidup sampai tahun mendatang, nescaya saya akan berpuasa pada tanggal Sembilan supaya berbeza dengan orang yahudi”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)

ii.    Puasa setahun penuh. Hal ini kerana penganiyaan terhadap diri sendiri di samping melemahkan tubuh badan. Rasulullah s.a.w. murka terhadap tiga orang iaitu :
1.    Yang mewajibkan kepada dirinya untuk selalu beribadah
2.    Puasa setahun penuh
3.    Menjauhkan isteri

Baginda bersabda yang bermaksud:
“ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang paling takut dan takwa  kepada Allah antara kamu, namun aku berpuasa, berbuka, solat, tidur dan beristeri. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukan golonganku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
iii.    Puasa Wisal iaitu menyambung puasa, tidak berbuka, siang dan malam. Puasa seperti ini merupakan pengkhususan bagi Rasul, kerana ada hadis riwayat Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi melarang menyambung puasa, lalu seorang lelaki bertanya. “ Engkau sendiri menyambung puasa ya Rasulullah!”
Jawab Nabi: “Siapakah antara kamu yang sama seperti aku? Pada malam hari aku diberi makan dan minum oleh Tuhan”. Maksudnya ialah  bahawa baginda diberi pertolongan dan kekuatan oleh Allah untuk berpuasa.

iv.    Puasa hanya pada hari sabtu, kerana ada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya ari Abdullah Ibn Syaqiq dari ibu saudaranya Shamma’, ia berkata: “Rasulullah melarang puasa pada hari sabtu, dan sabdanya yang bermaksud:
“ Apabila salah seorang antara kamu hanya mendapatkan   sebatang kayu yang hijau, hendaklah ia berbuka dengannya”.

v.    Puasa hanya pada hari Jumaat
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Jangan salah seorang antara kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali dengan berpuasa satu hari sebelum atau sesudahnya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)
Sumber : Ramadan tiba lagi
Aima

Aima

Related Posts:

Powered by Blogger.